Search This Blog

Sunday, August 16, 2009

Continuously Variable Transmission (CVT)

Transmisi boleh laras berterusan (CVT) adalah sejenis sistem transmisi yang boleh menukar tanpa langkah melalui suatu bilangan nisbah gear berkesan yang tak terhingga antara nilai maksimum dan nilai minimum. Ia bertentangan dengan transmisi mekanikal lain yang hanya membenarkan beberapa bilangan nisbah gear tertentu untuk dipilih. Keanjalan CVT membolehkan aci pacuan untuk mengekalkan kelajuan sudut yang malar melalui satu banjaran kelajuan keluaran. Ia mampu menghasilkan penggunaan bahan api yang lebih baik daripada sistem transmisi lain dengan membenarkan enjin berjalan pada putaran seminitnya (RPM) yang paling cekap pada satu banjaran kelajuan kenderaan.

Penggunaan


Kebanyakan traktor kecil bagi kegunaan rumah dan taman menggunakan sistem CVT hidrostatik atau tali sawat getah yang mudah. Contohnya, barisan kenderaan utiliti kecil John Deere Gator menggunakan sistem tali sawat dengan takal kon. Ia mampu menghamburkan banyak kuasa serta mampu mencecah 16-24 km/j tanpa memerlukan penggunaan klac ataupun menukar gear. Kebanyakan kenderaan salji serta skuter menggunakan CVT. Lazimnya hampir kesemua sistem CVT pada kenderaan salji serta skuter adalah jenis tali sawat getah/takal boleh laras.

Sesetengah pembajak gabungan mempunyai CVT. CVT tersebut membenarkan kelajuan mara bagi pembajak untuk diubah secara bebas daripada kelajuan enjin. Ini membolehkan pengendali untuk memperlahankan atau melajukan pembajak apabila diperlukan untuk menampung variasi ketebalan hasil tanaman.

CVT telah digunakan di dalam sistem penjanaan elektrik kapal terbang sejak tahun 1950an dan pada kereta lumba SCCA Formula 500 sejak awal 1970an. Terbaru, sistem CVT dibangunkan untuk go-kart dan ia terbukti meningkatkan prestasi serta jangka hayat enjin.

Kebaikan

  • CVT boleh memampas untuk mengubah kelajuan kenderaan, membenarkan kelajuan enjin dikekalkan pada tahap kecekapan mekanikal kemuncaknya. Ini menambah baik penjimatan bahan api, dan seterusnya, pelepasan asap.
  • CVT beroperasi dengan lancar kerana tiada penukaran gear yang boleh menyebabkan kejutan gear.
  • Terdapat kurang bahagian bergerak pada kotak gear CVT.
  • Kos pembinaan kotak gear CVT adalah lebih murah.
  • Kotak gear CVT tidak memerlukan penukaran bendalir transmisi automatik sebagaimana transmisi automatik konvensional, kecuali pada kereta.

Kelemahan

  • Kebanyakan kereta CVT terawal mempunyai prestasi mengecewakan. Model Ford Fiesta 1.1 CTX asal misalnya, menggunakan 8.2 peratus lebih petrol daripada versi transmisi manual dalam pemanduan bandar.
  • CVT beroperasi dengan lancar, menyebabkan muncul persepsi kononnya kenderaan CVT kurang berkuasa, kerana ramai pemandu yang menjangkakan berlaku kejutan gear semasa mula bergerak. Walau bagaimanapun, "kejutan gear" boleh ditiru oleh perisian kawalan CVT pada sesetengah kereta CVT yang lebih canggih.
  • Oleh kerana CVT mengekalkan kelajuan enjin malar pada satu banjaran kelajuan kenderaan, menekan injak pemecut memang melajukan kenderaan tetapi tidak banyak mengubah bunyi enjin. Sekali lagi, ia mengakibatkan tanggapan kekurangan kuasa pada kenderaan CVT kerana berlaku kekeliruan pada sesetengah pemandu.
  • Keupayaan CVT untuk mengendalikan kilasan dihadkan oleh kekuatan bahan medium transmisi (biasanya tali sawat atau rantai), serta keupayaannya untuk menampung kehausan akibat geseran di antara sumber kilasan dengan medium transmisi (dalam CVT pacuan geseran). CVT keluaran sebelum tahun 2005 yang rata-ratanya jenis pacuan rantai atau tali sawat hanya terhad kepada skuter, kereta berkuasa rendah serta mesin-mesin berkuasa rendah yang lain. Unit yang menggunakan pelincir lebih maju, walau bagaimanapun, terbukti mampu menampung apa jua jumlah kilasan pada kenderaan pengeluaran, termasuklah bas, lori dan jentera berat.
  • Sebagai mana jenis transmisi automatik yang lain, ia mungkin ditolak di sesetengah kawasan, berikutan kos atau tradisi, terutamanya melibatkan pasaran kereta kecil di Eropah (terutamanya di Itali). Sebaliknya, kereta transmisi automatik mendominasi pasaran kenderaan di AS dan Jepun dalam semua kelas dan saiz.

Terdapat beberapa jenis sistem CVT, antaranya:-

  • Takal diameter boleh laras (VDP)
  • Toroidal (berasaskan penggelek)
  • Transmisi boleh laras tak terhingga
  • CVT gear sala
  • CVT hidrostatik
  • Transmisi roda bergigi boleh laras
  • CVT kon
  • CVT penggelek jejari

Friday, July 17, 2009

RON

Bermula 1 September nanti, klasifikasi penjualan minyak petrol negara ini akan diselaraskan dengan dua jenis RON (Research Octane Number) iaitu RON 95 dab RON 97. Sebagai pengetahuan, kedua-dua jenis bahanapi ini ialah dari sumber yang sama, Cuma melalui proses berbeza yang mana kedua-duanya tetap kekal sebagai petrol tanpa plumbum. Jadi. dua, bulan lagi, RON95 akan menggantikan RON92, harganya ialah RM1.75 manakala RON97 menjadi petrol premium pada harga RM2.00.

Apakah kesannya pada pengguna? Sebenarnya, banyak yang perlu anda ketahui tentang asas RON itu sendiri. Di seluruh dunia, pencemaran bahanapi fosil telah meningkatkan kesedaran banyak pihak, justeru kualiti bahanbakar ditingkatkan, dan jurutera pula bertungkus lumus memikirkan idea untuk mencipta enjin pembakaran moden yang mampu beroperasi dengan petrol spesifikasi RON yang dibangunkan. Kandungan sulfur juga perlu sangat minimum.

Adakah semua petrol RON95 sesuai dengan kereta anda? Bagaimana mengetahui kesesuaian tersebut?. Langkah paling mudah ialah melihat pada penutup petrol. Dan jika ia tiada disitu, boleh rujuk di buku panduan kenderaan. Pun begitu, tidak semua kereta ditulis dalam bentuk angka, sesetengahnya ditulis dengan istilah ‘leaded’ dan ‘unleaded’. Jangan khuatir, majoriti etrol yang dijual di malaysia (termasuk RON92) merupakan petrol jenis tanpa plumbum (unleaded)

Adakah RON97 lebih baik dari RON95?. Secara teorinya, benar, namun secara paraktiknya tidak. Petrol RON95 di stesen A mungkin lebih baik daripada petrol RON 97 di stesen B. Perlu diingatkan, setiap petrol di yang dijual oleh Petronas, Shell, BHP, Caltex dan Mobil adalah tidak sama. Setiap syarikat ini mempunyai ramuan tersendiri untuk meningkatkan keupayaan kualiti petrol masing-masing. Adakah petrol RON95 berkualiti rendah?

RON adalah berkaitan campuran dua asas campuran Oktana dan Pentana yang melengkapkan sifatnya menjadi bahanbakar petrol. RON95 bermaksud 95 peratus kandungannya adalah Oktana dan selebihnya Pentana. Begitu juga dengan RON97, 3 peratus Pentana dan selebihnya Oktana. Gandingan ini pula memutlakkan tahap pembakaran enjin yang bakal digunakan. Sekiranya enjin anda cukup sekadar dengan pembakaran RON95, kenapa perlu membazir membeli petrol RON97? Namun sebaliknya, jika enjin anda dicipta untuk membakar dengan RON97, adalah tidak memadai dengan menggunakan RON95 kerana omboh akan mengalami masalah ketukan (knocking) atau juga disebut pinging.

Enjin selinder bergerak dengan membakar petrol menjadi gas. Asasnya, enjin yang dicipta untuk RON95 adalah kebuk pembakaran yang berupaya membakar dengan sejumlah 95 peratus Oktana. Ingat. Sifat Oktana ialah kemampuannya untuk menahan tekanan dalam kebuk pembakaran. Jadi, dengan enjin yang dicipta untuk pembakaran 95 peratus oktana, memadai untuk menggunakan petrol RON95. Sebaliknya, jika enjin tersebut dicipta untuk tekanan 97 peratus Oktana, maka penggunaan RON95 adalah tidak sesuai. Oktana mempunyai keupayaan sifat mengembangkan tekanan dengan baik, tetapi tidak pada pentana. Pentana hanya akan melambatkan proses timbal-balik dan disinilah masalah ketukan (knocking) berlaku. Petrol yang baik adalah bergantung pada jenis pengeluar petrol itu sendiri.

Seperti yang diterangkan diawal nota ini tadi, setiap petrol tidak sama. Ia direka dengan kejuruteraan tinggi untuk menjadikan setiap klasifikasi bahanbakar tersebut adalah yang terbaik. RON pula adalah klasifikasi piawai yang wajib mereka selaraskan. Sama seperti penetapan kelikatan yang ditetapkan dalam industri minyak pelincir. Dakyah yang mengatakan lebih tinggi RON adalah lebih baik merupakan pendapat yang tidak benar. Petrol yang baik adalah petrol yang sesuai dengan RON yang diperlukan enjin.

Setiap pengeluar mempunyai resepinya yang tersendiri untuk menjadikan petrol mereka membakar dan membersih dengan efisyen. Setiap pengeluar memiliki pusat penyelidikan untuk membuat rumusan petrol dengan jisim seperti bersifat ‘mencuci’, mengekalkan tahap pembakaran, ketahanan dengan suhu dan pelbagai aspek untuk memastikan petrol mereka konsisten mengikut spesifikasi enjin yang direka untuknya.

Ada pengeluar yang benar-benar serius dengan mengekalkan tahap sulfur (jenis pencemaran ni) jauh lebih rendah daripada yang disarankan, malah ada sesetengah pengeluar petrol juga menghasilkan peratusan RON lebih tinggi dari RON97 tetapi masih diklasifikasi sebagai RON97. Ada juga pengeluar yang menjual RON97 dengan kandungan Pentana lebih 5 peratus.

Kesimpulannya, RON adalah berdasarkan kesesuaian enjin, bukan kualiti semata-mata. Tidak guna membandingkan RON100 Jepun atau RON98 di Britain. Mereka mempunyai enjin yang dicipta untuk kaedah pembakaran begitu. Kenapa perlu telan 2 bijik panadol kalau sebiji dah mencukupi untuk menyembuhkan demam panas? Kenapa perlu berbelanja lebih? sedekah kat anak yatim pun dapat pahala.