Search This Blog

Friday, August 8, 2008

Transmisi automatik adalah sistem kotak gear automotif yang boleh menukar gear secara automatik semasa kenderaan sedang bergerak tanpa memerlukan pemandu untuk menukar gear secara manual. Kebanyakan model kereta yang dijual di Amerika Syarikat, Jepun, Singapura dan baru-baru ini di Malaysia menggunakan transmisi automatik.

Pada awalnya, kereta dengan transmisi automatik kurang berkuasa, mempunyai kadar pecutan yang lambat, mempunyai nisbah gear yang sedikit serta tidak menjimatkan minyak berbanding transmisi manual, namun kemajuan teknologi automotif telah menjadikan transmisi automatik kini lebih menjimatkan minyak. Sungguhpun demikian, transmisi automatik masih tidak dapat menandingi transmisi manual dari segi kecekapan kuasa, pecutan, kelajuan maksimum dan penjimatan minyak.

Secara lazimnya, transmisi automatik merujuk kepada sistem yang menggunakan set gear planetari dan dikendalikan oleh sistem hidraulik. Sistem tersebut banyak digunakan pada kereta (dan sebahagian kecil kenderaan berat) yang menggunakan transmisi automatik. Jenis-jenis lain bagi transmisi automatik termasuklah transmisi automasi manual (AMT) seperti yang digunakan oleh kereta Proton Savvy, serta transmisi boleh laras berterusan (CVT) yang banyak digunakan pada skuter dan sesetengah model kereta.



Bagaimana transmisi automatik berfungsi

Bahagian utama kotak gear automatik adalah seperti berikut:-

  1. Penukar kilasan (torque converter) - mengambil alih tugas klac bagi transmisi manual serta menghasilkan sedikit gelinciran bagi membolehkan enjin terus beroperasi tanpa terhenti akibat putaran enjin yang rendah, seperti semasa mengundur ataupun mula bergerak dalam gear 1.
  2. Set gear planetari - set gear planetari majmuk dengan klac dan jalur brek dikendalikan oleh servo hidraulik hasil aktiviti sistem hidraulik pada badan injap, menghasilkan beberapa nisbah gear termasuk gear undur.
  3. Badan injap - pusat kawalan sistem hidraulik yang menerima bendalir transmisi automatik (ATF) bertekanan tinggi daripada pam utama yang digerakkan oleh penukar kilasan. Tekanan bendalir ATF seterusnya menggerakkan keseluruhan sistem hidraulik yang terdiri daripada sejumlah injap, bebola kawalan, omboh servo, dsb. Sebarang perubahan pada kelajuan enjin, kelajuan kenderaan dan kedudukan injak pendikit mempengaruhi operasi sistem hidraulik, menyebabkan sistem hidraulik menukar gear bersesuaian dengan keadaan pemanduan. Kini, kebanyakan kotak gear automatik moden dikendalikan secara elektronik, menjadikan rekabentuk badan injap dipermudahkan serta menambah baik kecekapan operasi transmisi automatik.
  4. Bendalir transmisi automatik (ATF) - ATF digunakan sebagai bendalir bahantara bagi sistem hidraulik pada transmisi automatik serta melincirkan komponen-komponen dalaman kotak gear. Bendalir ATF perlu diperiksa atau ditukar secara berkala.

Transmisi automatik memanipulasikan pergerakan set gear planetari (sama ada menahan, membebaskan atau menggabungkan pergerakan komponen gear) bagi menghasilkan beberapa nisbah gear. Set gear planetari dimanipulasi melalui beberapa klac berbilang plat (sila ambil perhatian, klac tersebut adalah untuk menukar gear dan bukannya berfungsi seperti klac transmisi manual) dan jalur brek, yang dikendalikan oleh satu sistem hidraulik. Sistem hidraulik tersebut menggunakan bendalir transmisi automatik (ATF) dan bertindak berdasarkan maklum balas berkaitan kelajuan enjin, kelajuan kenderaan, kedudukan injak pendikit serta kedudukan tombol gear.

Di dalam transmisi manual, klac digunakan untuk memutus atau menyambungkan kuasa dari enjin semasa menukar gear serta menghasilkan gelinciran semasa mula bergerak dari gear 1 atau semasa mengundur untuk mengelakkan enjin daripada terhenti akibat putaran enjin yang terlalu rendah. Namun demikian, tugas tersebut diambil alih oleh penukar kilasan (torque converter) yang juga menggunakan bendalir ATF. Oleh itu, injak klac tidak terdapat pada transmisi automatik.

Transmisi Automatik

Transmisi automatik dikendalikan dengan hanya menggerakkan tombol gear ke posisi tertentu. Sesetengah model kenderaan dengan transmisi automatik pula menggunakan butang-butang bagi menggantikan tombol gear, sekaligus menjimatkan ruang. Posisi bagi mod transmisi automatik disusun mengikut format P-R-N-D-3-2-L, sama ada dari kiri ke kanan ataupun dari atas ke bawah. Enjin boleh dihidupkan semasa dalam posisi P ataupun N sahaja.

Mod transmisi automatik adalah seperti berikut:-

  • P (Park) - Membebaskan gear seperti posisi N (neutral), serta mengunci transmisi supaya kenderaan tidak boleh bergerak. Mod ini digunakan ketika meletak kereta serta hanya boleh digunakan semasa kenderaan tidak bergerak supaya tidak mengakibatkan kerosakan. Sesetengah kereta memerlukan pemandu untuk menggunakan brek kaki semasa menukar gear dari P ke posisi lain.
  • R (Reverse) - Untuk mengundur kenderaan. Seperti posisi P, pemandu mesti berhenti terlebih dahulu sebelum menukar ke posisi R untuk mengelak kerosakan pada kotak gear.
  • N (Neutral) - Membebaskan gear dan tidak mengunci transmisi.
  • D (Drive) - Membolehkan kenderaan bergerak ke hadapan. Di dalam mod ini, kotak gear akan menukar gear secara automatik pada semua gear kelajuan, sama ada 3, 4, 5 dan seterusnya. Bilangan gear automatik tertinggi ialah 8 pada beberapa model terbaru kereta Lexus. Sesetengah gear automatik 4 kelajuan mempunyai suis OD (overdrive), maka dalam posisi D, gear 4 hanya dapat ditukar apabila suis OD dihidupkan dan penukaran gear hanya terhad sehingga gear 3 apabila suis tersebut dimatikan.
  • 3/D3 - Sama seperti D tetapi penukaran gear hanya terhad sehingga gear 3 sahaja. Berguna semasa melalui jalan raya pergunungan yang curam.
  • 2/S (Second) - Sama seperti D, tetapi penukaran gear terhad sehingga gear 2 sahaja. Berguna semasa melalui jalan raya pergunungan yang sangat curam serta bagi pemanduan musim sejuk.
  • 1/L (Low) - Kenderaan hanya boleh bergerak dalam gear 1 sahaja. Berguna semasa pemanduan musim sejuk serta semasa menunda kenderaan lain.

Kawalan manual oleh pemandu

Sungguhpun transmisi automatik menukar gear secara automatik tanpa kawalan pemandu, namun pemandu masih boleh mengawal operasi transmisi manual dalam beberapa bentuk seperti berikut:-

  • Kawalan injak pendikit - Kotak gear automatik akan menukar gear yang lebih rendah secara automatik sekiranya injak pendikit dipijak dengan kuat, berfungsi pada kelajuan tertentu untuk mengelakkan kerosakan enjin akibat lebihan putaran.
  • Suis pemilih mod - Sesetengah model kereta transmisi automatik turut dilengkapi suis mod pemanduan, sama ada Economy ataupun Power. Di dalam mod Economy, gear ditukar pada kelajuan enjin yang agak rendah, tetapi pada mod Power pula penukaran gear dilengahkan untuk pecutan maksimum.
  • Pilihan gear rendah - Kebanyakan kotak gear automatik mempunyai pilihan yang membolehkan pemandu mengehadkan tukaran gear pada bilangan gear tertentu sahaja, berguna semasa pemanduan di kawasan pergunungan yang perlu bergantung pada "brek enjin" bagi pemanduan yang selamat.
  • Kawalan manual - Sesetengah model kereta transmisi automatik kawalan elektronik (ECT) menawarkan mod manual bagi membolehkan pemandu menukar gear secara manual tetapi tanpa penggunaan klac. Mod tersebut boleh dicapai sama ada dengan menggerakkan tombol gear ke posisi M (Manual) ataupun dengan menekan butang. Penukaran gear secara manual dapat dilakukan sama ada menggunakan tombol gear ataupun menggunakan butang, bergantung kepada model kereta tersebut.


Fakta menarik

Mercedes-Benz SLR McLaren adalah kereta transmisi automatik terpantas di dunia. Digerakkan oleh enjin 5.4L V8 dengan pengecas super serta menggunakan transmisi automatik 5 kelajuan, ia mampu mencapai kelajuan maksimum 334 km/j.


No comments: