Search This Blog

Wednesday, July 13, 2011

PRINSIP ASAS SISTEM BREK HIDRAULIK

TAJUK: PRINSIP ASAS SISTEM BREK HIDRAULIK

TUJUAN:

Kebanyakan kenderaan sekarang banyak menggunakan brek jenis hidraulik. Oleh itu adalah penting pelatih-pelatih memahami prinsip asas hidraulik. Kertas penerangan ini diharap dapat menjelaskan lagi kefahaman pelatih berkenaan tajuk ini.

PENERANGAN

1. PRINSIP ASAS HIDRAULIK

Prinsip hidraulik menyatakan bahawa kuasa tekanan yang diberi kepada cecair itu akan sama banyak diterima pada semua arah.Prinsip hidraulik mengambil 2 faktor utama bagi sistem ini iaitu:

  • Kecairan tidak boleh dihimpit.Apabila dihimpit cecair tersebut akan berkumpul dan akan menyebabkan satu tekanan yang sama.
  • Kuasa tekanan dalam setiap bahagian kuasa hidraulik adalah sama banyak. Kuasa tekanan ini dibuat dengan adanya piston.

Sistem brek hidraulik menggunakan Prinsip Pascal yang menyatakan cecair yang tertutup dapat memindahkan tekanan yang sama pada semua arah tanpa menghilangkan kuasa itu. Dengan lain perkataan cecair hidraulik tidak boleh dimampatkan dan tekanan keseluruhan sistem adalah sama.

Rajah dibawah menunjukkan asas brek hidraulik yang terdiri daripada pedal brek, takungan (reservor), silinder induk (master cylinder) yang dihubungkan kepada silinder roda (wheel cylinder) dan brek caliper melalui saluran tiub keluli. Apabila pedal brek ditekan piston dalam silinder induk akan tertolak. Ini akan menyebabkan cecair yang berada di hadapan piston akan tertolak dan membentuk tekanan kepada seluruh sistem brek. Piston di silinder roda dan caliper akan menolak pula lining / pad rapat pada gelendung (drum) / piring (disk).




2. CIRI CECAIR BREK HIDRAULIK

Cecair yang digunakan didalam sistem brek adalah cecair yang khas. Cecair yang sama juga boleh digunakan untuk sistem klac hidraulik. Cecair yang digunakan untuk sistem brek hidraulik mestilah mempunyai ciri-ciriseperti berikut. Ini bagi menjamin supaya sistem brek sentiasa dalam keadaan yang baik dan selamat digunakan.

  1. Tidak melembutkan atau tidak mengembangkan bahagian-bahagian brek yang diperbuat daripada getah.
  2. Tidak mengaratkan bahagian brek yang diperbuat dari logam.
  3. Tidak terpelowap (menjadi wap) apabila suhu didalam sistem brek menjadi tinggi. Sekiranya ciri ini berlaku, cecair brek akan cepat habis.
  4. Boleh mengalir pada suhu rendah atau takat beku(bawah 0 C)
  5. Boleh bertindak sebagai bahan pelincir untuk bahagian-bahagian brek yang bergerak.
  6. Boleh tahan lama dengan mengekalkan ciri-ciri diatas.

Bagi memastikan kemampuan membrek tidak terjejas adalah dinasihatkan cecair brek perlu ditukar setelah kenderaan berjalan sejauh 65 000 km (39 000 batu) atau setiap 2 tahun.

3. PRINSIP PASCAL

Prinsip pascal menyatakan apabila daya dikenakan pada sebarang titik diatas cecair terkurung maka ia akan diagihkan sama rata oleh cecair ke semua arah. Lihat gambarajah dibawah.


Rajah dibawah ini membuktikan prinsip pascal yang mana dua silinder dengan garispsat yang sama disambungkan diantara satu dengan yang lain.Apabila satu daya dikenakan keatas piston dalam satu silinder,piston di satu silider lain akan menerima satu jumlah daya semasa tekanan dihantar oleh cecair.



Rajah dibawah ini menunjukkan empat silinder dengan garispusat yang sama disambungkan ke satu pusat.Satu tekanan yang sama dikenakan ke atas kempat-empat silinder brek roda tersebut.



4. BLEEDING(MENJUJUS) Bleeding (menjujus) ialah mengeluarkan udara yang terkandung atau terperangkap di dalam sistem brek. Ia mesti dilakukan sekiranya perkara-perkara berikut terjadi iaitu:

  1. Bila menanggalkan mana-mana bahagian saluran sistem brek.
  2. Bila cecair brek dalam takungan kosong atau paras yang terlalu rendah.
  3. Bila membaiki pam induk (master cylinder) atau silinder roda (wheel cylinder).
  4. Satu dari brek melekat (jammed) terlalu lama.Silinder roda akan menjadi panas dan ini akan menyebabkan udara masuk ke silinder.
Jika udara yang terperangkap tidak dibuang ini akan menyebabkan apabila pedal brek ditekan, tekanan tidak akan wujud didalam sistem brek. Dengan ini piston pada wheel cylinder/brake caliper tidak boleh menolak lining/pad untuk mencengkam. Satu tanda yang menunjukkan bahawa udara terperangkap didalam sistem brek ialah bila pedal brek ditekan ia akan berasa lembut dan terus sampai ke lantai tetapi brek masih tidak berkesan. Apa yang berlaku sebenarnya ialah gelembung-gelembung udara yang terperangkap didalam cecair brek itu termampat.

Dengan itu setiap silinder roda dilengkapkan dengan injap jujus untuk mengeluarkan udara yang terperangkap di dalam sistem brek.