Search This Blog

Tuesday, September 20, 2011

SUNTIKAN BAHAN API

Suntikan bahan api atau pancitan bahan api adalah sistem kenderaan yang bertugas mengangkut bahan api ke kenderaan selain daripada penggunaan karburetor. Dua jenis suntikan bahan api yang paling lazim adalam sistem suntikan bahan api petrol dan diesel. Suntikan bahan api membawa bahan api bertekanan tinggi dan menyemburkannya menjadi titisan halus ke ruang rongga masukan (bagi kes enjin petrol) ataupun secara terus ke dalam kebuk pembakaran (bagi kes enjin diesel) untuk menambah luas permukaan cecair bahan api bagi pembakaran yang lebih cekap. Sebelum ini, kebanyakan enjin petrol menggunakan karburetor tetapi sekarang boleh dikatakan hampir kesemua model kereta terkini menggunakan suntikan bahan api manakala karburetor hanya digunakan pada enjin-enjin yang kecil seperti pada motosikal.

Perbezaan fungsi yang paling ketara antara karburetor dan suntikan bahan api ialah suntikan bahan api menyembur bahan api kepada titisan yang sangat halus dengan mengepam bahan api secara paksaan ke muncung halus di bawah tekanan tinggi, sementara karburetor pula bergantung kepada tekanan vakum oleh udara masukan untuk menghantar bahan api.

Pemancit bahan api hanya terdiri daripada sebuah muncung serta injap; bahan api dihantar melalui pam bahan api atau bekas bertekanan.

Objektif

Objektif bagi sistem suntikan bahan api boleh jadi pelbagai. Kesemuanya berkongsi tujuan bagi mengangkut bahan api bagi tujuan pembakaran, tetapi ia bergantung kepada keputusan reka bentuk bagi mengoptimakan sistem tersebut. Terdapat beberapa objektif utama iaitu:

  • keluaran kuasa
  • kecekapan bahan api
  • keluaran asap yang lebih bersih
  • keupayaan bagi menggunakan bahan api alternatif
  • kebolehpercayaan
  • pemanduan dan operasi yang lebih lancar
  • kos asas
  • kos penyelenggaraan
  • keupayaan diagnosis
  • banjaran operasi terhadap alam sekitar

Beberapa kombinasi bagi matlamat tersebut ada kalanya saling berlawanan, dan adalah kurang praktikal bagi sesebuah sistem kawalan enjin bagi mengoptimakan kesemua kriteria tersebut secara serentak. Dalam keadaan sebenar, jurutera automotif berusah untuk memberi lebih kepuasan kepada pengguna secara kompetitif. Sistem suntikan bahan api elektronik jauh lebih berupaya untuk mengoptimakan objektif-objektif tersebut daripada karburetor.

Komponen sistem suntikan bahan api elektronik


Rajah keratan rentas sebuah pemancit bahan api.
  • Pemancit bahan api
  • Pam bahan api
  • Pengawal tekanan bahan api
  • ECU - Unit kawalan enjin; mengandungi sebuah komputer digital kecil untuk berkomunikasi dengan penderia serta mengawal keluaran.
  • Gumpalan pendawaian
  • Pelbagai pengesan (Sebahagiannya disenaraikan di sini.)
  • Kedudukan engkol/sesondol: Penderia kesan Hall
  • Aliran udara: Pengesan MAF
  • Kandungan oksigen di dalam gas ekzos: Pengesan oksigen
  • Kedudukan pendikit: Pengesan kedudukan pendikit
  • Suhu bendalir penyejuk: Pengesan suhu bendalir penyejuk (bagi melaras kuantiti suntikan bahan api semasa enjin sejuk)
  • Ketukan enjin: Pengesan ketukan (bagi melaras pemasaan sistem penyalaan sekiranya berlaku ketukan pada enjin)

Jenis suntikan bahan api


Unit Pemancit Badan Pendikit GM
  • Suntikan Badan Pendikit (TBI) atau Suntikan Titik Tunggal - diperkenalkan pada pertengahan 1980-an, ia terdiri daripada hanya satu pemancit bahan api, ditempatkan pada injap pendikit, sama seperti karburetor. Kini ia digantikan dengan sistem suntikan berbilang titik.
  • Suntikan berterusan - bahan api disuntik secara berterusan ke semua pemancit bahan api, digunakan pada sekitar tahun 1974 sehingga awal 1990-an.
  • Suntikan Berbilang Titik (MPI) - pemancit bahan api diletakkan pada setiap rongga masukan, betul-betul berhampiran dengan injap masukan. Pemancit kawalan solenoid elektrik ini dikawal pemasaannya serta kuantiti suntikan secara elektronik oleh ECU. Sistem ini adalah sistem suntikan bahan api yang paling lazim digunakan pada kereta dan motosikal besar.
  • Suntikan Terus - bahan api disuntik terus ke dalam kebuk pembakaran, menjadikannya sebagai sistem bahan api yang paling cekap. Sistem suntikan terus paling lazim digunakan pada enjin diesel, tetapi baru-baru ini terdapat beberapa model kereta berenjin petrol yang menggunakan sistem suntikan terus seperti Mitsubishi dan Volkswagen.

No comments: